nuh

Aril Impian

Bina istana untuk kekasih

Club Pujangga | 10:50 |
Perak sentiasa meniti di bibir pencinta sejarah negara. Pada zaman kegemilangan perlombongan bijih timah, Lembah Kinta di Perak menjadi tumpuan orang ramai.
Terletak kira-kira setengah jam dari Bandaraya Ipoh ialah Batu Gajah. Dulu, seorang berbangsa Scottish mahu membina istana yang lengkap dengan kemudahan bilik bawah tanah, gelang-gang tenis atas bumbung, dapur besar, parit lebar, lif dan terowong rahsia untuk isterinya di atas bukit kecil di tebing Sungai Raya.
Namun sebelum istana itu siap, beliau meninggal dunia dan selepas satu abad, Kellie’s Castle tersergam sebagai tinggalan simbol romantik tragis yang menarik.

Itulah antara tinggalan sejarah yang kini menjadi salah satu destinasi pelanco-ngan terkemuka.
cinta fakta
KELLIE’S Castle tinggalan simbol romantik tragis yang menarik.

Menurut sejarah, Bandaraya Ipoh wujud pada 1820-an sebagai sebuah perkampungan kecil di tebing sungai.

Ia mula berkembang pada 1870-an dengan penemuan bijih timah semasa pemerintahan British di Perak.

Selain Kellie’s Castle, bangunan lama Jubilee Park menyaksikan kegemilangan dan sejarah lampau.

Hari ini, taman seluas dua hektar itu pernah menempatkan pawagam dan dewan konsert, tersergam di tengah kesibukan Jalan Kuala Kangsar.

Bagi generasi lama, Jubilee Park mengingatkan mereka kenangan zaman remaja menaiki karusel muzikal, bermain mesin pinball dan berebut melihat hiburan terlarang melalui ‘kotak intai’.

Salah satu seni bina Ipoh yang ikonik ialah Stesen Keretapi Ipoh di Jalan Bukit Gantang Wahab (Club Road).

Ia dibina pada tahun 1915 oleh A.B. Hubback, akitek kerajaan dengan menggantikan stesen lama berpondok atap dengan bangunan putih serta seni bina mengagumkan mirip Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Stesen ini kerap dikenali sebagai Taj Mahal Ipoh kerana kecantikan gabungan seni bina Moor dan India dengan kubah mempesona dan gerbang yang tinggi.

Di seberang jalan, bangunan kolonial Dewan Perbandaran Ipoh utuh berdiri dengan tiang-tiang besar juga dibina oleh Hubback.

Menariknya, terdapat beberapa sumber mengatakan bahawa wujudnya sebuah terowong bawah tanah yang menyambungkan Dewan Perbandaran ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Seorang hakim Mahkamah Tinggi pernah berkata bahawa pesalah akan dibawa ke mahkamah melalui terowong tersebut, bukannya melalui pintu depan, walaupun kini ia tidak lagi diamalkan.

Terletak beberapa ratus meter di sepanjang Jalan Dewan (Post Office Road) pula adalah Menara Jam Memorial Birch berhampiran belakang bangunan Dewan Perbandaran.

Menara yang dibina bagi mengenang Residen British pertama Perak, J.W.W. Birch ini berbentuk segi empat, mempunyai paparan leng-kap, memiliki loceng yang berbunyi mengikut bunyi loceng di Big Ben, London serta dihiasi empat patung terracotta di puncak menara.

Menyusuri sepanjang Jalan Dato’ Maharajalela (Station Road) ke Jalan Sultan Yussuf (Belfield Street), anda pastinya terpesona dengan beberapa bangunan menarik seperti Bangunan Hidro Perak, bangunan Mercantile Bank bercirikan art-deco, bangunan Chartered Bank, bangunan Straits Trading (inspirasi Renaissance Itali) serta bangunan S.P.H. De Silva.

Bangunan sebegini mungkin tidak lagi dibina pada hari ini dan tidak dapat dibayangkan utuhnya bangunan warisan ini berdiri bersama bangunan moden yang lain.

Memasuki Belfield Street, di hujung jalan terdapat premis berwarna biru di sudut jalan dikenali sebagai F.M.S. Bar and Restaurant yang dibina pada tahun 1916.

Ia adalah akronim bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dahulunya terdiri daripada negeri-negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Rumah-rumah kedai berkonsepkan Cina ini juga adalah titik pertemuan untuk pelombong dan penanam Eropah serta pemain kriket yang bermain di Padang Ipoh bertentangan.

Terdapat beberapa kena-ngan di mana pemain akan memesan minuman sejuk selepas bersukan dan ada ahli perniagaan yang minum sehingga mabuk, mengadu masalah perniagaan bahkan ada yang ditarik keluar oleh isteri masing-masing kerana tidak pulang ke rumah.

Meneruskan penerokaan ke arah Jalan S. P. Seenivasagam (Clayton Road) membawa anda ke St. Michael’s Institution, sebuah sekolah besar bertentangan padang hijau luas.

Dengan seni bina Gothic yang mengagumkan, sekolah ini bermula pada 1912 sebagai sebuah rumah agam dikelilingi pokok kelapa.

Dalam tempoh 30 tahun, bangunan baru dibina sejajar dengan pertambahan pelajar. Sekolah ini juga pernah dijadikan kem hospital oleh Tentera British semasa Perang Dunia Kedua dan menjadi ibu pejabat Jepun semasa zaman pendudukannya.

Untuk lebih pengalaman menjelajahi warisan Ipoh, dapatkan Peta Jalanan Warisan Ipoh 1 daripada mana-mana pusat maklumat di Ipoh atau majukan pertanyaan di kintaheritage@gmail.com.