nuh

Aril Impian

Sejuk damai semula jadi

Club Pujangga | 11:03 |
Ramai mungkin tidak tahu di kawasan Sungkai, Perak selain Sungai Klah Hot Spring, terdapat satu lagi destinasi pelancongan menarik iaitu air terjun bertingkat.
Kawasan air terjun bertingkat yang terletak di perkampungan Orang Asli Sungai Tisong yang jaraknya kira-kira tiga kilometer daripada Sungai Klah Hot Spring dan dikenali Pusat Perkelahan Sungai Tisong.
Air terjun Sungai Tisong mempunyai jeram bertingkat dengan air yang jernih mengalir dari Banjaran Titiwangsa membentuk takat terjun.

Ia membolehkan pengunjung menikmati kesejukan air terjun sambil menikmati suasana alam semula jadi yang masih terpelihara.
melancong
JERAM semula jadi dengan takat terjun mengujakan pengunjung.

Untuk sampai ke kawasan air terjun itu, pengunjung akan menempuh jalan agak kecil hanya muat untuk sebuah kenderaan.

Sepanjang perjalanan, pengunjung boleh melihat secara dekat aktiviti penduduk di situ dan mengenal budaya serta adat resam yang diamalkan masyarakat Orang Asli.

Kawasan air terjun di sini masih dipenuhi pelbagai pokok kayu hutan dan paku-pakis menyebabkan kawasan ini agak redup dan nyaman.

Jika suka aktiviti mencabar, mereka boleh melakukan aktiviti meredah kawasan jeram secara berkumpulan untuk melihat pelbagai spesies hidupan dan habitat hutan.

Bagi kaki pancing, usah melepaskan peluang beriadah sambil memancing ikan tengas yang mempunyai saiz yang besar.

Jika bernasib baik, apabila tiba musim buah, pengunjung boleh membeli buah-buahan tempatan dan hasil hutan yang dijual murah.