nuh

Aril Impian

Doa Untuk MH370

Club Pujangga | 00:54 |
pray

KUALA LUMPUR 15 Mac - Selepas lapan hari misteri kehilangan MH370, orang ramai masih tidak berputus harap dan terus berdoa agar kesemua penumpang dan kru pesawat itu dapat ditemui dengan selamat.

Solat hajat turut diadakan bagi memohon kepada Allah supaya memudahkan usaha mencari dan menyelamat 239 penumpang dan kru pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu.
Di KUALA TERENGGANU, warga Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjayakan majlis Menzahirkan Doa dan Harapan Buat MH370 di hospital itu hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman yang seterusnya mengetuai upacara menurunkan tandatangan pada pemidang yang disediakan sebelum diikuti para pegawai dan kakitangan lain.

Menurut Anwa, pihaknya berasa terpanggil untuk mengadakan majlis seumpama itu bagi menunjukkan keprihatinan dan mendoakan keselamatan penumpang MH370.
"Pemidang ini akan kita sediakan untuk staf dan pelawat sehingga pencarian pesawat MH370 ditemui. Walaupun ringkas majlis ini cukup bermakna untuk kita sama-sama mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370," katanya kepada pemberita pada majlis itu.
Sementara itu beliau berkata, semua hospital daerah telah diarah mengambil langkah sama dalam usaha menggalakkan kakitangan sama-sama mendoakan keselamatan penumpang pesawat berkenaan.
Di PULAU PINANG, pengedar surat khabar daripada Penang News Vendor and Book Sellers Association mengambil inisiatif mendoakan yang terbaik terhadap semua penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, semalam.
Kira-kira 50 ahli persatuan itu menyertai majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat yang diadakan di Masjid Anjuman Himayathul Islam, Lebuh Chulia.
Solat hajat selepas solat Isyak itu dipimpin oleh Imam Ali Akhbar.
Presiden Penang News Vendor and Book Sellers Association, Abdel Kader Haja Mydin berkata, majlis terbabit diadakan atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan pengedar akhbar di negeri ini terhadap kejadian yang menimpa MH370 itu sekali gus memohon petunjuk daripada Allah supaya usaha pencariannya dipermudahkan.

"Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar dan kami amat berharap penumpang dan anak kapal MH370 ditemui serta segala misteri yang berkait dengan kehilangan pesawat ini terungkai dengan segera," katanya.