nuh

Aril Impian

Dahulu duit raya 5 sen

Club Pujangga | 02:06 |

Aidilfitri

Andai menerima duit raya sebanyak lima sen daripada tuan rumah, pasti masing-masing akan tersenyum lebar. Ini kerana rumah lain hanya memberi duit raya sebanyak satu sen sahaja
AMALAN memberi duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri bagaikan suatu kewajipan pada masa kini biarpun budaya tersebut bukanlah tuntutan dalam Islam.
Malah, diketahui umum pemberian angpau tersebut sebenarnya adalah budaya pinjam daripada kaum Cina yang mengamalkannya ketika meraikan sambutan tahun baru.
Biarpun tidak mengetahui semenjak bila amalan tersebut meresap dalam budaya Melayu, namun Datuk Abdul Aziz Sattar atau lebih dikenali sebagai Aziz Sattar, 88, mengakui menerima duit raya semenjak kecil lagi.
"Seperti kanak-kanak pada masa kini, saya dan rakan-rakan dahulu pun akan mengelilingi satu kampung semata-mata untuk 'mengutip' duit raya.
"Andai menerima duit raya sebanyak lima sen dari tuan rumah, pasti masing-masing akan tersenyum lebar. Ini kerana rumah lain hanya memberi duit raya sebanyak satu sen sahaja.
"Jika dikumpul-kumpul duit raya tersebut, dapatlah saya 30 sen. Biarpun kedengaran kecil jumlahnya pada masa kini tetapi nilainya sangat tinggi sekitar tahun 1930-an dahulu," katanya yang saban tahun beraya di Singapura berbanding di kampung kelahirannya di Surabaya, Indonesia.
Bercerita tentang keunikan sambutan Aidilfitri dahulu, Aziz berkata, dahulu tidak semua orang mampu memiliki radio, jadi bunyi dentuman meriam akan menjadi panduan pengumuman hari raya.
Menyentuh tentang juadah raya, katanya, bagaikan tidak lengkap jika tidak dihidangkan kepada tetamu ketupat, rendang mahupun bahulu.
Lebih menarik, ujarnya, agar-agar dan bahulu pada masa dahulu akan dibentuk menggunakan pelbagai acuan haiwan seperti arnab, burung dan ikan.
"Tapi saya hairan, walaupun agar-agar itu mempunyai bentuk menarik, namun manisan itu jarang dijamah biarpun telah terhidang di atas meja.
"Bila difikir-fikirkan kembali, manisan tersebut bagaikan penyeri meja semata-mata kerana selepas raya barulah agar-agar itu dimakan oleh tuan rumah.
"Kebanyakan kuih raya pada masa itu juga menggunakan bentuk tumbuh-tumbuhan seperti cili yang diletakkan pewarna merah ataupun hijau," katanya sambil tersenyum mengenang aneka bentuk kuih raya pada zaman dahulu.
Tambah Aziz, bagaimanapun segala kemeriahan sambutan Aidilfitri bagaikan diragut semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura.
Pada zaman itu, pelakon veteran itu berkata, tiada lagi istilah sambutan hari raya apabila bekalan makanan dicatu, selain pergerakan penduduk tempatan sentiasa diperhatikan oleh askar-askar Jepun.
"Jika ketupat dan rendang menjadi juadah wajib selama ini, berlainan pula pada zaman pemerintah Jepun.
"Disebabkan sukar mendapatkan bekalan makanan seperti beras, tepung dan minyak, jadi ramai yang menderita kerana tidak cukup makanan.
"Tidak hairanlah jika kebanyakan juadah yang dihidangkan pada pagi Syawal pada masa tersebut berasaskan ubi kayu," kata Aziz yang pernah diseksa oleh askar Jepun ketika berusia 15 tahun selepas ditangkap mencuri beras untuk diedarkan kepada orang ramai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.m
Baca SeterusnyaDahulu duit raya 5 sen