nuh

Aril Impian

Sejuk damai semula jadi

Club Pujangga | 11:03 |
Ramai mungkin tidak tahu di kawasan Sungkai, Perak selain Sungai Klah Hot Spring, terdapat satu lagi destinasi pelancongan menarik iaitu air terjun bertingkat.
Kawasan air terjun bertingkat yang terletak di perkampungan Orang Asli Sungai Tisong yang jaraknya kira-kira tiga kilometer daripada Sungai Klah Hot Spring dan dikenali Pusat Perkelahan Sungai Tisong.
Air terjun Sungai Tisong mempunyai jeram bertingkat dengan air yang jernih mengalir dari Banjaran Titiwangsa membentuk takat terjun.

Ia membolehkan pengunjung menikmati kesejukan air terjun sambil menikmati suasana alam semula jadi yang masih terpelihara.
melancong
JERAM semula jadi dengan takat terjun mengujakan pengunjung.

Untuk sampai ke kawasan air terjun itu, pengunjung akan menempuh jalan agak kecil hanya muat untuk sebuah kenderaan.

Sepanjang perjalanan, pengunjung boleh melihat secara dekat aktiviti penduduk di situ dan mengenal budaya serta adat resam yang diamalkan masyarakat Orang Asli.

Kawasan air terjun di sini masih dipenuhi pelbagai pokok kayu hutan dan paku-pakis menyebabkan kawasan ini agak redup dan nyaman.

Jika suka aktiviti mencabar, mereka boleh melakukan aktiviti meredah kawasan jeram secara berkumpulan untuk melihat pelbagai spesies hidupan dan habitat hutan.

Bagi kaki pancing, usah melepaskan peluang beriadah sambil memancing ikan tengas yang mempunyai saiz yang besar.

Jika bernasib baik, apabila tiba musim buah, pengunjung boleh membeli buah-buahan tempatan dan hasil hutan yang dijual murah.
Baca SeterusnyaSejuk damai semula jadi

Cara murah keliling dunia

Club Pujangga | 11:01 |
Perancangan bercuti di luar negara selalu berhenti di tengah jalan saja. Mana tidaknya, keinginan melawat destinasi yang sudah lama diimpikan punah begitu saja saat memikirkan kos perbelanjaan yang diperlukan.
Tiket kapal terbang, hotel, pengangkutan semasa di destinasi dan banyak lagi yang menjadi isu utama yang sering membuatkan segala perancangan hanya tinggal kenangan. 
Namun, siapa kata melancong selalunya mahal? Jika bijak diikuti dengan tindakan yang cepat dan pantas, impian anda bercuti ke destinasi idaman pasti menjadi kenyataan. 

Secara tidak langsung, anda boleh menjimatkan kos percutian dari pelbagai segi termasuklah pengangkutan, bilik hotel, makanan dan sebagainya.

Percutian anda juga lebih tenang dan seronok tanpa berdepan dengan masalah kecil yang boleh merosakkan keseluruhan percutian anda.

Jom periksa tip melancong minggu ini. Ia mungkin dapat membantu anda untuk memperoleh percutian yang lebih murah. 


Musim cuti 

Cuba elak bercuti pada musim cuti krismas, hari raya puasa, tahun baru atau cuti-cuti khusus di destinasi yang dituju. 

Ini kerana jika melancong ketika itu, ada kemungkinan semua harga termasuk penerbangan, bilik hotel, makanan dan banyak lagi akan naik mendadak. 

Namun, bila terpaksa pergi juga, cari maklumat dan beli tiket menerusi Internet, setidak-tidaknya tiga hingga enam bulan sebelumnya dapat menyelamatkan kos percutian anda. 


Tentukan pengangkutan 

Segera tentukan pengangkutan yang akan digunakan untuk mencapai tempat tujuan. Bila menggunakan pesawat, rajin-rajinlah mencari maklumat di Internet untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah. 

Pilih syarikat penerbangan yang boleh memberikan harga paling murah, tetapi kualiti layanannya cukup bagus. Lakukan perkara ini sekurang-kurangnya sebulan sebelumnya. 


Melalui Internet 

Penempahan menerusi Internet biasanya lebih murah daripada agensi pelancongan. Namun penempahan menerusi agensi juga boleh lebih murah dibandingkan bila kita pergi secara langsung tanpa memesan tiket penerbangan dan hotel terlebih dulu. 

Teliti harga yang ada kerana ia boleh berlipat kali ganda lebih murah. 


Tiket murah 

Untuk mendapatkan tiket penerbangan murah, manfaatkan agensi pelancongan yang boleh memberikan layanan terbaik. Cari harga yang paling murah pada tarikh dan waktu penerbangan yang anda inginkan kemudian daftarkan nama anda tanpa membeli terlebih dahulu. 

Jadi, selagi belum bercuti, anda masih boleh memeriksa harga-harga yang ditawarkan. 

Bila ada yang lebih murah, jangan ragu-ragu untuk menelefon petugas agensi pelancongan yang menguruskan tiket anda dan memintanya untuk mendaftarkan nama anda. 


Buat pesanan awal 

Memesan tiket penerbangan dan hotel sebelum berangkat untuk bercuti sangat penting meskipun anda hanya bercuti di daerah kecil. 

Anda pastinya tidak mahu kedamaian percutian anda rosak bahkan batal hanya kerana apabila sampai di destinasi, semua hotel yang bagus penuh atau bilik yang tersedia sangat mahal, bukan? 

Justeru, membuat tempahan awal adalah sangat digalakkan untuk anda yang sedang merancang percutian yang hebat. 


Rajin melayari Internet 

Melalui Internet biasanya hotel-hotel terkenal memberikan harga jauh lebih murah berbanding menempah bilik terus di hotel. 

Kini banyak laman web yang menyediakan pelbagai promosi bilik yang boleh anda layari untuk mendapatkan harga bilik yang cukup murah selain melawati laman web hotel itu sendiri. 

Justeru, jangan lepaskan peluang yang ada. Tidak rugi menghabiskan masa melayari Internet mencari bilik penginapan jika boleh memperoleh bilik hotel dengan harga yang cukup murah. 


Periksa kemudahan 

Jangan pula terlalu gembira memperoleh harga bilik yang sangat murah dan terus bersetuju sebelum melihat segala kemudahan yang disediakan hotel itu. 

Ada baiknya anda mengetahui segala kemudahan hotel yang akan dipilih bila memesan menerusi Internet supaya anda tidak menyesal. 


Manfaatkan teman 

Memiliki teman atau saudara yang tinggal di kota destinasi terutama bila tujuan bercuti di luar negara boleh dimanfaatkan sebagai tempat menginap. 

Bukan itu saja, anda juga mungkin boleh menjimatkan kos belanja makan saat menginap dengan teman atau saudara dengan memasak. 

Selain itu, anda juga boleh menginap di rumah tetamu milik kedutaan di destinasi yang dituju.

Baca SeterusnyaCara murah keliling dunia

Lubuk barang lusuh

Club Pujangga | 10:59 |
Jika Pulau Pinang terkenal dengan Roadwalk dan Ipoh mempunyai Memory Lane, Bandaraya Alor Setar juga memiliki destinasi tumpuan peminat barangan lama dan antik setiap hujung minggu.
Pasar Karat Kampung Berjaya menjadi medan pertemuan antara peniaga barangan lusuh dan antik. 
Pelbagai barangan antik dan lama dijual, antaranya seterika lama, pemain piring hitam, duit syiling dan barangan tembaga. 

Lebih menarik, harga yang ditawarkan berpatutan sekali gus membuatkan ada peminat serta pengumpul barangan lama serta antik ini pulang dengan senyuman.

Peniaga, Mohamad Fauzil Mohamad Kadersah berkata, dia memperoleh barangan lama dan antik dari kampung sekitar Kedah selain koleksi peribadinya.

Dia yang tiga tahun berniaga di pasar ini turut menjual teropong lama yang dihasilkan pada 1915. 

Sementara itu, peminat koleksi antik, Timmothy Wooi berkata, setiap minggu dia akan berkunjung ke pasar ini bagi melihat barangan yang dijual. 

“Jika ada yang berkenan dan mempunyai nilai tersendiri, saya akan membelinya untuk menambah koleksi sedia ada,” katanya. 

Di samping barangan antik, terdapat juga barangan terpakai lain seperti majalah, kaset, perkakasan elektrik dan permainan lama. 

Malah ada sesetengah barangan tidak berfungsi masih boleh dijual sebagai barang ganti. 

Pasar ini bukan saja menempatkan peniaga barang lama, tetapi bercampur dengan peniaga barangan basah lain. 

Bagi yang melancong ke Alor Setar, pasar karat dibuka setiap hari Jumaat dari jam 8 pagi hingga 1 petang. 

Selain pasar karat, anda boleh mengunjungi lokasi menarik lain seperti Masjid Zahir, Balai Nobat, Balai Seni dan juga Menara Alor Setar yang terletak berhampiran.

Baca SeterusnyaLubuk barang lusuh